Saya merupakan penyokong kuat Tun Mahathir Mohamad. Saya juga pengkritik kuat Pak Lah, namun ia tidak menjadikan saya taksub kepada Tun Mahathir sehingga bakal menghancurkan UMNO. Dr. Mahathir mahu mendedahkan kononnya nama pemimpin UMNO yang menggunakan mengamalkan politik wang. Dr. Mahathir sekali lagi mahu menjadi pendakwa dan penghukum.
Najib bercakap mudah kerana beliau menang tanpa bertanding. Memang mudah bercakap kerana berapa banyak Ketua Bahagian yang sudah mengidam projek dan sebagainya ingin menunjuk mereka yang setia kepadanya.
Kata Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, politik wang dalam UMNO hari ini sudah teruk dan amat kronik.
Tun Mahathir bercakap soal politik wang dalam UMNO seolah-olah ahli UMNO hari ini begitu dungu, bebal dan sanggup memilih sesiapa sahaja yang memberi wang yang lebih. Ini juga dinyatakan oleh DS Najib Tun Razak, TS Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir.
Tun Mahathir juga memperli calon-calon lain yang dapat pencalonan lambat seperti Ali Rustam, Muhammad Muhd Taib, Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin sebagai melakukan politik wang atau rasuah politik.
Jika ahli UMNO membuat keputusan demikian tentulah kita juga tertanya-tanya apakah Muhyiddin, Hishamuddin dan Mukhriz yang mendapat pencalonan terbanyak tidak memberi sebarang wang, jamuan, janji projek, jawatan dan juga menggunakan pengaruh kawan, sepupu dan bapa masing-masing?
Jika demikian bagaimana pula mereka boleh mendakwa UMNO ini penuh dengan ahli yang mengundi berdasarkan wang?
Kita ingin bertanya lagi, apakah Tun tidak lagi sedar kesilapan beliau melantik seseorang yang "clean" akhirnya menjadi huru hara negara ini? Apakah penilaian "clean" Tun kali ini akan lebih baik berbanding penilaian beliau terhadap Pak Lah dulu?
Apakah kerana Tun "favour" kepada Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz maka mahu dijahanamkan imej orang lain.
Selagi ada demokrasi, selagi itu ada keperluan penggunaan wang dalam kempen. Tun sepatutnya mendidik ahli UMNO dan rakyat membuat keputusan berdasarkan akal fikiran bukannyanya menghentam orang itu dan orang ini menggunakan wang dalam kempen. Tiada kempen politik dalam negara dan luar negara yang tidak menggunakan wang.
Tun menulis dalam catatan terbaru diblognya, "Juga dahulu rakyat tidak pernah tolak sebahagian besar calon UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 seperti yang berlaku pada pilihanraya umum 2008. Jika rasuah dahulu tidak berbeza dengan sekarang kenapakah BN menang majoriti 2/3 tiap pilihanraya umum dari tahun 1982-1999?"
Apakah kenyataan Tun ini benar atau sekadar membantu Mukhriz yang kononnya bersih dari sebarang gejala politik wang?
Cukuplah bercakap soal politik wang dalam parti. Belum ada orang bodoh atau tidak layak menang jawatan dalam UMNO melalui pertandingan biar sebanyak mana pun wang mereka taburkan. Sebaliknya sudah terbukti terdapat orang yang tidak layak memegang jawatan kerana kebolehan mereka mengampu pemimpin tertentu termasuk Tun.
Pak Lah sendiri dilantik oleh Tun, bukannya menang jawatan melalui politik wang.
Siapakah yang memulakan politik memberi wang tambang untuk pulang mengundi, jalan raya waktu pilihan raya, kenduri ketika pilihan raya, bantuan kepada fakir miskin ketika pilihan raya, bantuan orang cacat waktu pilihan raya, kain batik, kain pelikat dan beras waktu pilihan raya? Bukankah semua ini bermula waktu Tun. Apakah ini bukan rasuah politik?
Rakyat menolak BN kali ini kerana tidak sukakan polisi, dasar dan prestasi kerajaan BN. Jika isu rasuah dalam pemilihan parti yang menjadi alasan rakyat menolak UMNO, maka Tun perlu ingat dalam pemilihan lalu, jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan Ketua Puteri tidak dipertandingkan.
Jadi apakah rasuah lebih besar dari zaman Tun dahulu?
Tun jangan nafikan bahawa politik wang terbesar berlaku ketika Anwar Ibrahim menentang Ghafar Baba. Berapa "pink form" yang ditabur oleh Anwar. Jumlahnya mencecah puluhan juta sehingga menyebabkan Ghafar tidak cukup pencalonan. Ini merupakan sejarah politik wang terbesar dalam UMNO. Namun UMNO tetap menang besar pada 1995.
Malahan mengapa Tun tidak langsung mengambil tindakan ke atas "anak didik kesayangannya" Anwar Ibrahim ketika itu? Apakah Tun yang mempunyai pelbagai jentera risikan ketika itu langsung tidak mengetahuinya?
Mengapa pula Tun begitu beria-ria bercakap soal politik wang selepas melihat anaknya bakal dicabar hebat oleh calon-calon lain untuk jawatan Ketua Pemuda, dan "ayam
sabungannya" Tan Sri Muhyidddin bakal dicabar oleh ali Rustam dan Mat Taib?
Cukuplah Tun mencaturkan UMNO selama ini. Biar Perwakilan UMNO pula membuat keputusan. Perwakilan UMNO bukan bodoh mahu mengundi berdasarkan wang ringgit.
Belum ada pemimpin lemah dilantik oleh perwakilan, tapi sudah terbukti Tun beberapa kali membuat kesilapan memilih orang tertentu menjadi pemimpin. Biarlah perwakilan UMNO pula membuat keputusan.
Banyak lagi isu agama dan bangsa yang sedang tercabar dan dicabar tetapi kita masih mahu memburukkan imej UMNO dengan cakap-cakap politik wang?
Apa guna lantik pemimpin nampak "bersih" tapi agama, bangsa, negara dan parti tunggang langgang?
Baca Selanjutnya!