Showing posts with label Abdullah lawan Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Abdullah lawan Mahathir. Show all posts

Friday, July 21, 2006

Mana Satu Betul: Ada Masalah atau Tiada?

Selepas Persatuan Bekas Wakil Rakyat BN (MUBARAK) Kelantan membatalkan majlis bersama Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir, satu lagi program dijangka akan turut mendapat nasib yang sama.

"Si tiung" ada menyatakan Mesyuarat Pemuda UMNO Selangor semalam menangguhkan program "Mengenang Jasa Bekas-bekas Pemimpin UMNO Selangor". Penangguhan ini berhubungkait dengan tetamu jemputan utama malam itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Majlis tersebut sebelum ini dirancang pada 24 Ogos 2006, sempena bulan kemerdekaan, bagi meningkatkan daya juang Pemuda UMNO Selangor. Nampak gaya daya juang belum sempat subur.

Menurut si tiung lagi, Ketua Pemuda Selangor, Abdul Shukur Idrus, banyak menerima tekanan dari Pemuda UMNO pusat supaya menangguhkan majlis tersebut ke satu tarikh lain bagi mengelakkan suasana politik kurang senang. Shukur dikatakan menerima panggilan daripada dua orang pemimpin tertinggi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia - Ketua dan Naib Ketua serta beberapa panggilan dari EXCO Pemuda.

Sungguhpun begitu, dikhabarkan UMNO Selangor dan YAB Menteri Besar belum dimaklumkan lagi keputusan Pemuda UMNO Selangor semalam.

Sekretariat Tutup

Sekretariat sambutan juga telah ditutup. Dilaporkan beberapa ahli jawatan kuasa penganjur marah dengan keadaan ini. Ini berikutan sebelum ini mereka telah beberapa kali mendapat kepastian, dan Shukur mengatakan program tersebut pasti diteruskan.

Antara mereka juga melahirkan rasa malu kerana sebelum ini mereka telah beberapa kali naik turun Yayasan Kepimpinan Perdana untuk mendapatkan persetujuan Tun Dr. Mahathir.

"Di mana hendak diletak muka kami jika penangguhan ini benar-benar berlaku?" tanya salah seorang "orang kuat" majlis yang turut sama berusaha mendapatkan persetujuan Tun untuk hadir. Kelihatan beliau belum dimaklumkan mengenai keputusan tersebut semasa ditanya.

Sementara itu, beberapa ahli UMNO turut mempersoalkan kelogikkan keputusan tersebut.

"Ini bukan majlis ceramah isu semasa seperti yang hendak dianjurkan oleh MUBARAK Kelantan. Ini majlis mengenang jasa pemimpin. Adakah UMNO sudah hilang hormat terhadap pemimpin-pemimpin veteran?"

Mengelirukan

Jika siulan si tiung ini benar, apakah sebenarnya yang berlaku di dalam UMNO? Ketika Pak Lah menyatakan beliau tiada masalah dengan Tun Mahathir, ada orang lain berusaha untuk merenggangkan lagi hubungan mereka?
Penangguhan majlis ini pasti akan terus mengguriskan hati ahli-ahli UMNO akar umbi yang mahu melihat jasa Tun Dr. Mahathir tidak diperlekehkan oleh kepimpinan hari ini.


Ahli UMNO dan rakyat Malaysia sedang meneliti tingkah laku pemimpin UMNO dan mempunyai persoalan besar:


1. Adakah penyokong sekeliling Pak Lah yang terlebih sudu dari kuah yang menyebabkan hubungan antara kedua pemimpin ini makin jauh dan renggang? atau


2. Pak Lah hanya bermanis mulut di dalam media dan khalayak umum tetapi telah menentukan agenda perang di belakang tabir?


Hanya Pak Lah boleh menentukan jawapannya. Jika banyak program dan atur cara Tun Mahathir terbatal atau tertangguh secara senyap, nyatalah gendang perang telah dipalu oleh Pak Lah sendiri.


Pak Lah boleh mengelak persepsi ini dengan mengarahkan semua program Tun membabitkan UMNO hendaklah dijalankan seperti yang dirancang.


Malah sesiapa yang cuba menangguhkan atau menghalang hendaklah dikenakan tindakan disiplin parti kerana bertanggungjawab memecah belahkan lagi parti yang dalam tanda tanya sekarang ini.


Baca Selanjutnya!

Thursday, April 27, 2006

Pak Lah: Muhasabahlah Diri Sebelum Menyindir Mahathir

OLEH: Kunta Kinte Malaysia

"Never mind that I may not build great monuments or glittering cities. What is important to me is that what we do today, what we change today, will enable us to succeed now and far into the future," - Abdullah Badawi

Abdullah bebas menyindir Mahathir. Namun sekurang-kurangnya dasar dan pendirian kerajaan pimpinan Mahathir boleh dipegang pada talinya berbanding kerajaan hari ini.

Dasar dan diplomasi yang penuh lompang, tergesa-gesa dan kelam kabut mewarnai tiga tahun pemerintahan Pak Lah. Apabila memegang tampuk pemerintahan, Pak Lah menangguhkan 3 projek utama yang bakal menggerakkan ekonomi negara untuk sedekad lagi. Pak Lah menangguhkan projek penggantian Tambak Johor (causeway) dan Gerbang Perdana, Projek Landasan Berkembar (Double Track)dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Mujurlah projek Smart Tunnel telah berlangsung dan Pak Lah tidak boleh membatalkannya tanpa menjejaskan rupa fizikal Kuala Lumpur. Jika tidak nescaya ini juga turut berubah.

Langkah Pak Lah ini sebenarnya mengelirukan kerana kesemua projek ini diluluskan ketika beliau menganggotai kabinet. Dengan kata lain, Pak Lah adalah sebahagian yang bertanggungjawab terhadap kelulusan ini.

Pak Lah sama ada kurang bijak atau mempunyai agenda lain sukar ditafsirkan bila ia membatalkan projek landasan berkembar.

[sebenarnya saya masih keliru sama ada projek ini ditangguhkan, dibatalkan atau akan dijalankan. Ini kerana dasar kerajaan berubah dengan kerap sehingga sukar untuk mengesahkan sesuatu keputusan awal.]

Landasan berkembar ini bertujuan untuk mempercepatkan perjalanan keretapi Utara -Selatan dan merupakan rancangan jangka panjang untuk memodenkan perkhidmatan keretapi negara. Rancangan ini merupakan pelan serampang dua mata iaitu membabitkan kepentingan awam dan ekonomi.

Dalam kepentingan awam, perjalanan yang singkat antara satu tempat ke satu tempat akan membolehkan orang ramai menggunakan keretapi sebagai pengangkutan utama berbanding bas. Ini bukan sahaja akan menjimatkan masa, malah mengurangkan kemalangan akibat terlalu banyak bas ekspres dan mengurangkan jumlah kenderaan di Lebuh raya Utara-Selatan.

Selain itu, ia juga akan menyebar luaskan penempatan pekerja Kuala Lumpur sehingga ke bandar-bandar pinggir sempadan Selangor - Perak.

Dari segi ekonomi, pemodenan sistem pengangkutan keretapi ini akan mempercepatkan pengangkutan kontena dan barang dagangan sekaligus mengurangkan pergantungan kepada lori yang telah menyesakkan Lebuh Raya Utara-Selatan selama ini.

Berapa banyak kemalangan jalan raya, subsidi diesel dan kesesakan jalan raya yang dapat kita selamatkan jika landasan berkembar ini terlaksana tidak mungkin difahami oleh pentadbiran hari ini.

Malangnya, pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi (AAB) hanya melihat isu keluar-masuk wang kerajaan semata-mata. Dengan kata lain, jika kerajaan terpaksa bebelanja berbillion ringgit tetapi tidak mendapat pulangan yang sama ke dalam kantung kerajaan maka ia tidak wajar dilaksanakan.

Hakikatnya, kerajaan harus berbelanja ke atas pembangunan infrastruktur untuk menjana ekonomi dan membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan juga kehidupan yang lebih baik dapat diwujudkan. Melalui pertumbuhan ekonomi kerajaan akan mendapat semula pulangan wang melalui cukai. Ini asas akaun negara. Jika pertumbuhan ekonomi lembab, rakyat jatuh miskin, ekspot negara berkurangan, apakah kerajaan akan mampu bergantung kepada hasil petroleum semata-mata?

Apa akan terjadi jika petroleum telah habis dari perut negara seperti yang didakwa oleh kerajaan, dan pada masa itu juga kerajaan tidak mempunyai infrastruktur yang baik dan boleh menjana ekonomi? Apa yang generasi ketika itu akan buat?

Bayangkan jika kerajaan dahulu menganggap pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Link Kedua, Lebuhraya Pantai Timur, KLIA, Sepang F1, Putrajaya dan KLCC sebagai membazir, apakah faktor pemangkin ekonomi yang akan ada pada hari ini? Kalau dicabut semua ini yang kononnya projek mega dan berkilauan, apa yang pentadbiran Abdullah Badawi ada untuk menjana peluang ekonomi?

Memang benar wang negara harus dibelanjakan dengan berhemah. Berhemah bermaksud mempunya perkiraan untung rugi, bukannya membelanja secara sedikit.

Jika kita ada satu juta pada hari ini, kita berbelanja secara sedikit demi sedikit mungkin ia akan berjaya digunakan selama dua generasi wang tersebut. Tetapi apa yang tinggal kepada generasi ketiga dan seterusnya? Tapi jika sejuta tersebut dilaburkan kepada satu mekanisme perniagaan yang boleh menggandakan wang kita maka ia merupakan satu langkah mewarisi kemakmuran kepada puluhan generasi akan datang.

Demikian juga wang negara. Kerajaan harus membelanjakan ke atas faktor-faktor yang boleh menjana ekonomi bukannya berjimat hanya untuk menunjukkan kedudukan kewangan yang baik. Tidak ada salahnya meminjam jika hasilnya kita boleh menjana wang melebihi jumlah pinjaman kita pada masa akan datang.

Bukan tugas kerajaan untuk memberi wang kepada semua orang. Tugas kerajaan ialah mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang mencari makan untuk rakyat sebanyak mungkin. Jika kerajaan beranggapan bahawa pendapatan negara harus dinikmati oleh semua rakyat secara terus, eloklah kerajaan mengambil pendapatan Petronas sebanyak RM 35 bilion tahun ini dibahagikan sama rata kepada 26 juta rakyat Malaysia. Ini barulah pengagihan yang adil.

"Never mind that I may not build great monuments or glittering cities. What is important to me is that what we do today, what we change today, will enable us to succeed now and far into the future," - Abdullah Badawi

Petikan tersebut sungguh lunak di kalangan rakyat. Memburukkan pentadbiran lalu dan Pak Lah merupakan Robin Hood moden.

Malangnya, Kediaman Sri Perdana yang berharga RM 17 juta di Putrajaya tidak cukup baik untuk Abdullah Badawi. Memasuki Sri Perdana sahaja beliau melakukan pengubahsuaian berjumlah RM 15 juta.

Bayangkan Dr. Mahathir hanya membelanjakan RM 24.17 juta untuk sebuah kediaman rasmi Perdana Menteri, Abdullah Badawi membelanjakn RM 15.81 juta untuk pengubahsuaian. Janganlah kita berkokok sekampung tapi...

Baca Selanjutnya!

Apabila Rambut Sudah Putus, Tepung Sudah Selerak

Oleh: Anak Mat Lela Gila

Pembatalan projek jambatan bengkok yang dirancang untuk disambungkan dengan tambak Johor sebelah Singapura merupakan tindakan yang bukan sahaja sukar diterima akal malah memperlihatkan standard perhubungan awam dan pentadbiran kerajaan telah merosot dengan serius.

Pembatalan ini sukar diterima akal apabila memikirkan bahawa projek tersebut telah ditangguh sejak 2004 kononnya untuk tujuan kajian lanjut akhirnya dilaksanakan kepimpinan baru. Setelah hampir 2 tahun mengkaji, kerajaan hari ini mengarahkan ianya diteruskan pada sekitar awal tahun ini. Anehnya 3 bulan selepas arahan pelaksanaan Kerajaan memutuskan untuk membatalkannya.
Tidaklah diketahui oleh rakyat sekalian rakyat jelata apakah punca pembatalan tersebut secara sebenarnya. Mungkin ilham Illahi, mungkin campur tangan dewa-dewa penasihat ekonomi negara dan mungkin juga perasaan ingin memperlekehkan segala keputusan Perdana Menteri sebelum ini sukarlah ditafsirkan oleh juak-juak marhen dalam UMNO mahu pun Barisan Nasional.

Sebahagian rakyat jelata yang pantang melihat sebarang projek besar lalu dianggap membazir maka menerima mereka dengan hati terbuka dan gembira.

Yang paling bergembira pastilah anak-anak muda lulusan Oxford dan Cambridge yang merasakan mereka sudah bijaksana bila menggenggam segulung ijazah dari universiti bekas negara penjajah itu. Megahnya kumpulan Oxbridge ini sama megahnya dengan manusia-manusia bergelar kaum MCOBA (Malay College Old Boys) ketika zaman Anwar Ibrahim dulu. Mereka ini amat membenci Mahathir dan bersedia melakukan apa sahaja untuk memburukkan Mahathir.

Manakala sebahagian lagi yang berfikiran kehadapan, berjiwa besar dan berpandangan jauh melihat isu ini satu lagi tindakan berundur ke belakang setelah pembatalan projek landasan berkembar (double track).

Yang juak-juak, hulubalang dan para penggerak UMNO tidak faham ialah bagaimanakan sebuah projek yang diluluskan oleh kabinet yang turut dianggotai sebahagian besar ahli kabinet hari ini boleh membuat keputusan yang berubah-rubah. Ini Kabinet Negara atau almari kabinet?

Lebih menimbulkan kemarahan akar umbi UMNO ialah tindakan kerajaan untuk meletakan keputusan mereka atas batu jembala rakyat jelata yang tidak layak pun masuk ke mesyuarat kabinet. Yang ditolak oleh UMNO Johor ialah pemberian pasir dan ruang udara yang langsung tiada kena mengena dengan pembinaan jambatan bengkok.

Kebanyakan rakyat yang tidak paham isu mungkin mempercayai kenyataan kerajaan.

Namun hakikatnya, isu pasir dan ruang udara hanya timbul jika kerajaan Malaysia mahukan sebuah jambatan lurus yang dibina secara bersama dengan Singapura. Justeru bila kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelan asal untuk membina jambatan bengkok, apa perlu ditimbulkan isu pasir dan ruang udara lagi? Aadakah wujud hanky panky di kalangan penasihat ekonomi kerajaan hari ini?

Apakah ini hasil yang didapati oleh konsultansi yang berharga berpuluh juta ringgit yang diberikan kepada Ethos Consultan pada tahun lalu?

Kerajaan pimpinan Pak Lah tentulah berhak membatalkan mana-mana projek yang dianggap tidak perlu atau tidak relevan dengan pentadbirannya. Tapi janganlah bertindak untuk menjatuhkan maruah kepimpinan terdahulu, apatah lagi pemimpin yang bertanggungjawab meletakkan diri beliau di singgahsana. Ingatlah pepatah Melayu, jangan jadi, seperti si kudung mendapat cincin.

Menggunakan alasan undang-undang untuk menyokong tindakan kerajaan hari ini juga nyata bertujuan untuk menjatuhkan imej dan krdebiliti kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir sebelum ini.

Apakah Pak Lah dan Kabinet ingin memberitahu bahawa Tun Dr. Mahathir tidak menjalankan kajian dan perancangan teliti sebelum mengumumkan projek tersebut? Apakah anggota Kabinet ketika itu termasuk Pak Lah tidak mengambil bahagian dalam keputusan ini atau tidak memahami perbincangan?

Menggunakan anak muda sementah Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin untuk menjustifikasikan keputusan kerajaan bukanlah sesuatu yang elok, apatah lagi menggunanakan alasan yang mungkin menampakkan pembohongan.

Khairy bertanya, apa akan terjadi jika setelah jambatan separuh siap, Singapura enggan membenarkan pemindahan paip air dan rel keretapi?

Pertanyaan yang kononnya menyebabkan kerajaan mengambil tindakan strategis membatalkan projek tersebut dijawab begitu mudah oleh seorang lelaki tua berusia 80 tahun,

"Soal paip air Singapura, dalam perjanjian dibekalkan... dalam perjanjian itu... kalau ada keperluan maka paip air itu boleh dipindah setelah diberi notis selama enam bulan dan yang akan pindahkan ialah Singapura. Dan Kerajaan Malaysia tidak perlu bayar apa-apa pada Kerajaan Singapura. Itu perjanjian kita. Dan kita telah buktikan bahawa perjanjian ini valid dan kita telah ubah paip air mereka di daratan sewaktu kita membina jalan dan juga stesen keretapi baru."

Anak muda, kalau mahu menyanggah orang tua yang berilmu, penuhkan dulu dada mu. Kata orang cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Jangan nanti kokok sekampung tapi sekor berlumuran tahi.

Kalaulah penasihat-penasihat Pak Lah hari ini bijaksana tentulah isu perang mulut antara Tun Mahathir dan Kerajaan tidak terjadi. Kalaulah Pak Lah bijaksana berunding dahulu dengan Tun dan mendengar pandangan balas tentulah kerajaan tidak nampak bodoh di mata rakyat seperti hari ini.

Malangnya, anak-anak muda setahun jagung dalam politik negara, sebahagiannya tidak pun tahu sejarah negara - terdidik sekian lama di luar negara - ingin menjadi jaguh tidak bertempat. Bak kata pepatah jika kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan dalam.

Sudah tiba masanya Pak Lah merombak barisan penasihatnya, yang zapin mereka sumbang seribu tapi masih menyalahkan tanah tak rata. Jangan nanti kerana penasihat umpama kaduk naik junjung, UMNO, BN dan negara tercinta ini punah ranah.

Kita harapkan pemimpin UMNO yang bijaksana tahu menarik rambut dari tepung supaya tepung tidak berselerak, dan rambut tidak putus. Malangya, nasi sudah menjadi bubur.

Tindakan kerajaan menangani isu ini seumpama menepuk air di dulang terkena muka sendiri; Meludah ke langit jatuh ke muka sendiri jua.

Baca Selanjutnya!