Showing posts with label Perang Siber UMNO. Show all posts
Showing posts with label Perang Siber UMNO. Show all posts

Sunday, August 19, 2007

Hello Mat Taib, Ya! Saya Pengecut...

Ya, saya blogger tanpa nama adalah salah seorang pengecut seperti kata Tan Sri Mat Taib.

Tentulah sebagai orang biasa saya tidak berani berkahwin lari dengan Puteri Sultan dan menafikannya pula bila ditanya Sultan.

Tentulah saya pengecut jika dibandingkan dengan Tan Sri yang dikenali sebagai Mike Tyson. Saya walau bergaji Menteri Besar tidak mungkin berani membawa wang sebanyak RM 2 juta ringgit tunai dalam beg.


Tentulah saya pengecut berbanding Tan Sri yang sibuk bercakap prinsip politik Imam dan makmum, tapi belakang pemimpin atur strategi memburukkan pemimpin. Saya tidak mungkin berani berselindung disebalik analogi agama.

Tentulah saya pengecut berbanding Tan Sri kerana tidak mungkin saya akan memperbodohkan diri saya seperti Zaharin yang dipecat kerana mengkritik Pak Lah atau seperti Raja Petra yang isterinya turut disoal siasat polis hanya kerana komentar tertentu.

Tapi sehebat dan seberani Tan Sri, berapa kali Tan Sri menghadiri program Tun Dr. Mahathir dan mempersoalkan kenyataan beliau atau membuktikan beliau menipu?

Tapi sehebat dan seberani Tan Sri berapa banyak soalan akar umbi UMNO dalam kempen Penerangan UMNO tahun lalu Tan Sri ke depan dan menjawabnya?

Tapi sehebat dan seberani Tan Sri, beranikah Tan Sri menjemput Dr. Mahathir bercakap kepada Ahli UMNO dan kemudiannya Tan Sri pula menyanggah kenyataan Dr. Mahathir?

Kalau ini dibuat barulah anak jantan namanya. Kalau setakat berselindung di sebalik kedudukan dan kuasa, pondan pun pun boleh jadi keras.

Baca Selanjutnya!

Saturday, July 28, 2007

RTM oh RTM

Rancangan Fokus Sabtu menerusi RTM1 sebentar tadi (1.45pm) sungguh melucukan. Hampir lima minit difokuskan kepada isu blogger dan laman web. Malangnya sepanjang laporan tersebut, pembaca berita RTM berulang kali menyebut Tan Sri Muhammad Muhd Taib membuat leporan polis ke atas Malaysiakini.

Lebih melucukan bila ditunjukkan kehadiran raja Petra di balai Polis, beliau dirujuk sebagai pengendali laman web malaysiakini.

RTM juga masih memetik kononnya laporan tersebut berdasarkan artikel Raja Petra pada 11 julai 2007 tanpa menamakan tajuk artikel tersebut. Malangya, sehingga kini tiada bukti Raja Petra menulis sebarang artikel pada tarikh tersebut.

Tan Sri Mat taib dalam ucapannya di Dewan Rakyat juga tidak menyebut langsung mengenai artikel 11 Julai yang didakwa oleh RTM dan beberapa akhbar.

Tidak tahulah sama ada editor RTM sengaja mahu sabotaj UMNO atau kesilapan manusai.

Tapi kesilapan sedemikian besar tidak sepatutnya berlaku. Bukan sekali pula tapi berkali-kali dalam rancangan Fokus tersebut Malaysia-Today dirujuk sebagai Malaysiakini.

Untuk rekod, Raja Petra adalah pemilik laman web Malaysia-Today.net. Manakala Malaysiakini.com dikendalikan oleh Steven Gan.

Untuk Datuk ZAM, tolonglah jaga sikit kualiti pemberitaan. Jangan jadi NST hari ini dah tak ada orang percaya. Untuk UMNO, macam mana mahu menang kalau langkah awal pun sudah sumbang.

Baca Selanjutnya!

Thursday, July 19, 2007

UMNO & Siber: Tutorial Kepada Azalina (3)

[Nota: Artikel ini mengandungi perkataan yang kasar dan sensitif. Hanya sesuai dibaca oleh mereka yang berumur 18 tahun ke atas.]

Only two things are infinite, the universe and human stupidity, and I'm not sure about the former.
Albert Einstein (1879 - 1955)

Genius may have its limitations, but stupidity is not thus handicapped.
Elbert Hubbard (1856 - 1915)

Talk sense to a fool and he calls you foolish.
Euripides (484 BC - 406 BC), The Bacchae, circa 407 B.C.

Get all the fools on your side and you can be elected to anything.
Frank Dane


Blog ini ingin mengulas lebih awal kritikan terbaru laman web milik Azalina terhadap Tun Dr. Mahathir. Malangnya terdapat masalah teknikal yang mengekang kehendak itu.


Telah diperkatakan dalam dua episod yang lalu bahawa amat penting untuk Azalina dan kumpulannya menumpukan usaha kepada mempertahankan UMNO bukannya memecah belahkan UMNO. Malangnya ini tidak berlaku.

Teringin juga untuk mengenali manusia jenis mana yang sudahlah bodoh kurang pula budi pekertinya.

Tulisan KPMU bertujuan untuk mencerca Tun Dr. Mahathir. Marah mereka kerana Dr. Mahathir kata Lembaga Disiplin sudah tiada kredebiliti lagi.

Malangnya tiada satu pun bukti yang menunjukkan Lembaga Disiplin UMNO mempunyai kredebiliti. Sepatutnya mereka mengambil contoh bagaimana Isa Samad, Naib Presiden UMNO turut digantung kerana mengamalkan politik wang.

Tapi mereka juga tentu perlu menjawab mengapa Isa Samad digantung tapi Pembantu Khas Pak Lah, Zaki Zahid hanya diberi amaran sedangkan jelas bersalah mengamalkan politik wang. Mereka juga mungkin perlu menjawab mengapa Zaid Ibrahim digantung dari jawatan Ketua Bahagian atas alasan berkempen menyalahi etika sedangkan beliau menang tanpa bertanding.

Jadi jalan mudah ialah mengecam Tun semata-mata dan memutar belitkan isu atau fakta. Lihat dua para pertama tulisan mereka:

Memaku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Itulah perumpamaan yang paling tepat sebagai ulasan disebalik kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Lembaga Disiplin UMNO sudah tiada krediabiliti lagi.

Tun yang kebelakangan ini semakin lantang mempertikaikan UMNO pimpinan Pak Lah dilihat seolah-olah berada dalam keadaan terdesak dan nampak sangat beliau kini sedang dihambat bayang-bayangnya sendiri.


Apa kena mengena pepatah memaku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih? Tiada bukti atau hujahan langsung menyokong frasa tersebut. Sendiri bagi pepatah sendiri mengaku paling tepat? Kemudian para kedua dikatakan Tun takut bayang-bayang sendiri. Bayang-bayang apa?

Lihat pula para seterusnya:

Dakwaan terbarunya yang kononya tidak mahu menawarkan diri untuk bertanding sebagai perwakilan UMNO Kubang Pasu dengan alasan parti yang pernah dipimpinnya itu kini tiada kreadibiliti dianggap hanyalah omongan kosong semata-mata untuk menutup kesalahannya yang lalu.

Beliau yang menuduh Lembaga Disiplin UMNO pimpinan Pak Lah terlibat dengan rasuah salah guna kuasa kerana membebaskan lima perwakilan Bahagian Kubang Pasu pada 9 september lalu seperti memperlihatkan taktik sebenar Tun sewaktu mentabir UMNO dulu.

Kalau tidak masakan beliau sanggup menuduh sedemikian sedangkan dengan jelas beliau menyatakan tiada bukti untuk mendakwa lima perwakilan tersebut.


Mereka mendakwa dan mempersoalkan mengapa Tun terus mempertikaikan kredebiliti Lembaga Disiplin UMNO sedangkan (mengikut fahaman mereka), Tun menyatakan tiada bukti untuk mendakwa lima perwakilan tersebut.

Mungkin pembaca yang budiman boleh menyatakan apakah makna ketiga-tiga para di atas ini. Sungguh mengelirukan. Lebih mengelirukan mereka mendakwa Tun mneyatakan tiada bukti yang dibawa kepada Lembaga Disiplin. Sudah nyanyukkah Tun mahathir ini?

Sebenarnya penulis KPMU ini mengulas berita agendadaily.com. Di sini saya perturunkan sebahagian petikan berita tersebut:

Ditemui para wartawan selepas menerima kunjungan beberapa pemimpin dari SomaliLand di pejabatnya di Yayasan Perdana di Putrajaya Rabu beliau mendakwa Lembaga Disiplin UMNO sudah tidak ada kredibiliti lagi.

Beliau merujuk kepada kes laporan lima orang perwakilan cawangan ke mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu 9 September lalu yang mendakwa berlaku sogokan untuk pastikannya kalah.

Lembaga itu akhirnya memutuskan tidak menemui sebarang bukti kukuh berlaku sogokan wang dan salah laku dalam pemilihan perwakilan itu.

Dakwanya UMNO sudah menjadi sebuah parti yang membenarkan rasuah kerana tidak mengambil tindakan terhadap perlakuan rasuah sesetengah anggotanya walaupun perbuatan itu dibuat secara terang-terangan.


Lihat para yang saya "gelapkan" dalam berita agendadaily dan para yang saya "condongkan" dalam artikel KPMU.

Penulis KPMU tidak boleh membezakan kenyataan Tun dengan latar belakang berita yang ditulis oleh pemberita. Aapa yang saya hitamkan itu merupakan latar belakang berita yang ditulis oleh pemberita bagi memberi gambaran kepada pembaca.

Malangnya bebal-bebal yang seronok mencerca Dr. mahathir ini menganggap ia merupakan kenyataan Dr. Mahathir.

Mahu ketawa pun ada, mahu mennagis pun ada.

Baca Selanjutnya!

Tuesday, July 10, 2007

UMNO dan Siber: Tutorial kepada Azalina (II)

Sebenarnya saya mahu meberhentikan sahaja tulisan mengenai UMNO & Siber: Tutorial kepada Azalina. Namun tulisan terbaru laman web yang diwujudkan oleh Azalina, KPMU.NET sungguh melucukan sehingga saya merasakan perlu menulis satu lagi artikel untuk Azalina.

Dalam edisi pertama tulisan perang siber minggu lalu saya menyatakan secara tersirat bahawa bahawa perang siber UMNO yang dilakukan oleh Azalina akan gagal jika ia tidak berlandaskan kebenaran, fakta dan logik.



Jenaka Dari Perang Siber UMNO

Namun sekali lagi apabila membaca artikel dalam KPMU yang bertajuk: PERANG SIBER-AZALINA DAPAT SOKONGAN,saya merasa sungguh lucu dan teruja mengapa UMNO nilai pemikiran penggerak UMNO sudah berada di tahap yang amat daif sekali.

Mungkin kerana marah dengan catatan sejarah yang saya tulis dalam blog ini, penulis yang diupah oleh Azalina juga mahu menulis sejarah politik UMNO di siber ini. Lihat para pertama tulisan mereka:

Perang Siber mula wujud pada tahun 1999 dan kian berkembang apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar daripada parti UMNO. Pada ketika itu, Information Communication Technology (ICT) telah dikuasai oleh pembangkang dan pengaruhnya menjadi ancaman kepada UMNO kerana pihak pembangkang menyedari mereka mempunyai medium online sahaja untuk disampaikan kepada rakyat.


Apakah kesalahan fakta di sini? Pertamanya, dikatakan perang siber (pastinya merujuk kepada perang suara politik dalam interent oleh UMNO dan pembangkang) bermula pada 1999. Ini kesalahan fakta yang serius. Ini kerana laman web ro Anwar muncul tidak sampai sebulan selepas Anwar dipecat. Manakala laman web pro UMNO muncul sekitar dua bulan selepas itu.

Keduanya, dikatakan perang siber 1999 kian berkembang selepas Anwar keluar daripada parti UMNO. Apakah tahap pengetahuan penulis politik UMNO ini? Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan pada 2 September 1998 dan UMNO pada 3 September 1998. Tahun sudah salah. Fakta juga tidak tepat. Anwar keluar UMNO? Mungkin di Malaysia ini hanya penulis-penulis Azalina sahaja begitu buta sejarah.

Para pertama sahaja sudah terkeluar begitu banyak kesalahan fakta dan mencerminkan betapa pemalasnya penulis-penulis Azalina untuk membuat sedikit kajian dan penyelidikan.

Kita lihat pula para ke 5,

...pada tahun 2004, Tun Mahathir menggalakkan laman-laman web pro kerajaan dilahirkan sebanyak mungkin untuk menyaingi laman-laman web pembangkang yang menguasai ICT. Beliau sendiri menjadi penaung kepada KMU.net (sekarang dikenali sebagai mykmu.net) untuk menyaingi laman-laman web pembangkang.


Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun, sekarang)telah mengambil inisiatif sejak 1998 lagi menerusi kumpulan yang saya katakan sebagai kumpulan Ibrahim Ali dan juga pembangunan laman web UMNO - www.umno.net.my dan UMNO.org.my(sekarang UMNO-online.com).

Dr. Mahathir juga dilaporkan oleh akhbar Berita Harian bertemu dengan penggerak KMU pada tahun 2000. Justeru kita tertanya-tanya di mana tahun 2004 dijadikan fakta hujahan?

Lebih daripada itu tahun 2004 Malaysia dan UMNO sudah diketuai oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Lihatlah begitu banyak kesilapan dan kesalahan fakta yang jelas tidak akan dilakukan oleh orang yang membaca atau mereka yang mengambil serius tanggungjawab yang diberikan.

Kita lihat pula para tiga terakhir, "Bertepatan kini, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini telah melantik Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said untuk menjadi peneraju kepada unit `perang siber’.

Penulis politik Azalina ini langsung tidak mengambil kira fakta yang dibangkitkan oleh ramai orang bahawa Abdullah Ahmad Badawi tidak menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang lepas. Bagaimana Pak Lah boleh melantik Azalina dalam mesyuarat MT?

Para lain yang menyeronokan berbunyi begini:

Segala strategi yang diambil dan bakal dilaksanakan telah mendapat sokongan padu terutamanya daripada lebih kurang dua ratus ahli UMNO yang menghadiri Majlis Pertauliahan Jurulatih (PEWARIS) di Hotel Palm Garden Putrajaya semalam.


Mati Katak

Apabila kita mahu berperang, kita akan mengatur strategi secara senyap, melakukan kejutan dan membuat serangan kilat bagi melemahkan lawan kita. Jika pada zamna dahulu kala baik kerajaan agung Melaka, mahu puin kerajaan Greek lama, perang diisytihar secara terbuka, namun panglima perang sudah lama siap siaga.

Malangnya Azalina belum lagi menyiapkan panglimanya sudah mengisytiharkan perang. Terkontang-katinglah para bidak pucuk muda yang dipimpin oleh laksamana Do Re Mi untuk pergi berperang. Justeru kalau masuk laman web mereka KPMU.Net, kita boleh nilai dan hayati tulisan-tulisan tidak berfakta, bercorak menyerang peribadi dan sekadar memperlekehkan lawan.

Seterusnya apabila mahu berlawan dengan musuh utama maka kita akan cuba mengurangkan musuh yang lain. Malangnya, budak-budak Azalina lebih sibuk untuk memburukkan KMU, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO daripada menumpukan usaha berhujah dengan pembangkang.

Separuh masa ketua operasi perang siber Azalina dihabiskan dengan memburukkan ahli UMNO lain. Meletak cop orang itu sebagai orang Dr. Mahathir, si polan sana sebagai orang Mukhriz, dan si minah ini sebagai penyokong Tun.

Lebih melucukan beberapa minggu lalu begitu kuat mereka mengutuk laman web Malaysia-Today sebagai tiada peminat dan tiada pembaca. Hari ini terhegeh-hegeh mereka menghantar url kepada Raja Petra mohon disiarkan. Bukankah lucu dan lawak sekali pejuang siber Azalina ini?

Ramai rakan-rakan di PWTC merasa hairan dengan "budak Azalina" ini. Mereka ingin tahu apakah sebenarnya erti Perang Siber UMNO kepada Azalina dan kumpulannya? Mahu membantu UMNO atau memecah UMNO?

Ramai yang terkeliru termasuk seorang pemimpin UMNO yang juga merupakan bekas orang kuat UMNO-Online ialah mengapa kumpulan Azalina ini tidak menumpukan sahaja usaha mempertahankan UMNO seperti yang UMNO-Online, KMU dan Pemuda UMNO buat sebelum ini?

Pagi petang siang malam sibuk memburukkan ahli UMNO lain kepada UMNO Pusat, padanlah artikel di laman web tidak mencerminkan jumlah penulisnya yang kononnya berjumlah puluhan itu.

Jadi sekarang ini, sudahlah tidak bersedia berdepan dengan pembangkang, budak-budak Azalina juga sibuk menambah musuh.

Boleh berjayakah kumpulan Azalina ini? Hanya mimpi di siang hari.

p/s: Jika Azalina tidak boleh mengawal budak-budaknya supaya jangan ganggu orang UMNO lain, maka tidak mustahil dalam bahagian tiga nanti penulis akan melondehkan apa yang perlu. Ingatlah sekarang ini dalam UMNO bukan sahaja orang bercakap. Dinding, pintu, lantai, bumbung, lampu dan kipas angin pun boleh bercakap.
Baca Selanjutnya!

Thursday, July 05, 2007

Siapa Lantik Azalina - MT, Pak Lah atau Diri Sendiri?

Menurut Azalina seperti yang dilaporkan dalam media dan laman web milik Azalina kpmu.net, "Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini telah melantik beliau sebagai peneraju kepada unit `perang siber’ UMNO.

Soalnya sekarang bolehkah dipercayai kenyataan ini sedangkan Abdullah tidak pun hadir dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO terakhir yang diadakan di PWTC? Untuk rekod Mesyuarat MT UMNO terbaru dipengerusikan oleh Najib Tun Razak. [Lihat UMNO-Online.com]

Perlantikan Azalina hanya ada dua kemungkinan sama ada oleh Majlis Tertinggi UMNO atau Abdullah. Ia tidak boleh menjadi kedua-duanya sekali kerana Abdullah tidak hadir mesyuarat tersebut.

Atau mungkin juga terdapat MT yang lebih besar dari MT UMNO yang dipengerusikan oleh Najib awal bulan ini?

Atau mungkin Azalina berbohong?

Baca Selanjutnya!

Monday, July 02, 2007

UMNO dan Siber: Tutorial kepada Azalina (I)

Semalam saya hampir jatuh kerusi apabila menonton Buletin Utama. Ini kali kedua terjadi kepada saya. Kejadian pertama ialah apabila menonoton berita Pak Lah menyatakan Jet yang dibeli untuk kegunaan beliau bukan menggunakan duit kerajaan.

Berbalik kepada Buletin Utama semalam, saya hampir terjatuh kerusi apabila Menteri Belia dan Sukan yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, menyatakan bahawa pengalaman beliau dalam perang siber melalui http://www.gtputeri.com/ akan dipergunakan sepenuhnya untuk membantu UMNO dalam perang siber kali ini.


Berdasarkan kenyataan ahli majlis Tertinggi, Azalina Othman Said, yang diberi amanat oleh Majlis Tertinggi untuk mencari jalan mempertahankan UMNO di internet atau dunia siber, saya yakin ia akan gagal.

Biarlah saya berterus terang. Sebagai ahli UMNO dan pengundi Barisan Nasional saya mahu melihat UMNO kuat dan Barisan Nasional menang.

Namun, sebagai rakyat Malaysia dan manusia yang pernah menghabiskan beribu ringgit wang poket sendiri (tanpa mendapat walau satu pun kontrak kerajaan) untuk mempertahankan UMNO sejak 1998 - 2004, saya berharap pemimpin UMNO mendapat pengajaran sewajarnya atas kedayusan mereka.

Dan sebagai penulis di siber sejak 1998, saya melihat kenyataan Azalina semalam hanya cerminan awal menunjukkan kegagalan beliau memahami strategi propaganda politik alam siber dalam konteks Malaysia.

Sejarah Ringkas UMNO Dalam Siber

Isu perang siber dalam politik Malaysia ditandai oleh pemecatan Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Dalam masa tidak sampai dua bulan, beratus laman web Reformasi muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Ketika itu laman Mahazalim dan Mahafiraun antara yang paling popular. Populariti mereka begitu besar kerana mereka menyiarkan berita-berita semasa dan terkini mengenai kejadian reformasi dan juga kemudiannya perbicaraan Anwar Ibrahim.

Ketika media massa utama melakukan saringan berita, laman-laman ini menyiarakan sepenuhnya maklumat dari persepsi Reformasi.

UMNO menyedari vakum ruang siber ini dan cuba memenuhi tuntutannya. Terdapat tiga kumpulan utama yang cuba memenuhi vakum UMNO di ruang siber ini.

Kumpulan pertama ialah melalui UMNO Online (pada masa itu dilayari melalui http://www.umno.org.my/ dan kemudiannya ditukar kepada umno-online.com). Penggerak laman rasmi UMNO ini ketika asalnya diketuai oleh Rosnah Majid kemudiannya diketuai oleh seorang bekas wartawan Berita Harian. Tujuan asal laman ini bukan untuk perang siber tetapi sekadar menjadi laman web rasmi UMNO.

Kumpulan kedua ialah melalui kumpulan Datuk Ibrahim Ali (ketika itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Kumpulan ini mewujudkan beberapa laman web anonymous atau tanpa nama sebenar. Beberapa kakitangan kumpulan ini dibayar gaji sepenuh masa bagi menyerang pembangkang. Antara hasil kerja mereka termasuklah laman web petualang negara, 50 dalil, Freedom Malaysia dan mahataksub.

Kumpulan ketiga ialah melalui sekumpulan penyokong UMNO yang sememangnya telah bergelumang di alam siber. Kumpulan kemudiannya memperkenalkan identiti mereka sebagai antireformasi. Mereka ini mempunyai laman-laman web juga tanpa nama secara persendirian dan hanya berinteraksi melalui satu yahoo group dinamakan antireformasi.

Antara laman web mereka ketika itu ialah Pejuangbangsa (sudah mati), Politik Islam, Doa Anwar, Nihaz Online dan banyak lagi yang semuanya sudah tamat tanpa nesan selepas penubuhan Kelab Maya UMNO.

Kejayaan dan Kegagalan

Antara ketiga-tiga kumpulan ini nyata kumpulan antireformasi banyak memberi masalah kepada laman-laman reformasi dan Pas menjelang pilihan raya 1999.

UMNO-Online ketika itu tidak memberi kesan yang besar kerana ia bertindak seumpama akhbar arus perdana. Dengan kata lain, apa yang ada dalam akhbar itulah juga berita dalam UMNO Online. Jika ada kekecualian pun hanyalah sedikit sebanyak liputan dalaman aktiviti UMNO dan kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO peringkat bawah.

Kumpulan kedua tidak gagal sepenuhnya. Namun mereka tidak juga berjaya kerana ia hanya bersifat kutukan, khabar angin dan dakwaan tanpa fakta.

Mengapa kumpulan yang tidak menerima sebarang imbuhan, tidak mengenali semua orang antara mereka, tidak mempunyai organisasi kukuh dan naungan politik atasan serta tidak pernah dipanggil bermesyuarat dengan bahagian penerangan UMNO ini menjadi begitu berjaya dan dikenali ramai ketika itu?

Jawapannya ialah kepercayaan terhadap kepimpinan, kesungguhan, kebenaran dan fakta. Mereka ini terdiri daripada penulis dan pemikir yang melihat penyelesaian kepada peperangan siber ialah perdebatan ilmiah dan logik dengan pembangkang ketika itu.

Isu-isu popular sama ada dari segi agama, politik, orang Melayu dan perlembagaan dijawab secara rasional dan logik. Malahan apa sahaja isu Anwar Ibrahim ketika itu juga dijawab secara logik dan rasional kerana mereka percaya kepada kebenaran yang dibuat oleh Kerajaan dan UMNO ketika itu. Boleh dikatakan hampir apa sahaja isu-isu yang cuba ditimbulkan oleh penyokong Reformasi dan Pas ketika itu dijawab oleh kumpulan ini.

Namun mereka juga tidak berjaya dengan hebat berbanding laman web reformasi. Ini kerana kekangan waktu sambilan mereka.

Selepas Pilihan Raya Umum 1999.

Selepas pilihan raya umum 1999, kumpulan ini membentuk Kelab Maya UMNO (KMU). Sumbangan mereka pada 1999 mendapat perhatian Dr. Mahathir. Pada tahun 2000 kumpulan ini mengadakan perjumpaan tertutup dengan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak itu kumpulan ini kemudiannya menubuhkan satu portal berita politik http://www.kmu.net.my/ mempunyai hubungan rapat dengan Penerangan UMNO dan UMNO-Online. Jika diteliti antara tahun 2000 - 2004, perang politik di siber bukan lagi masalah besar kepada UMNO. Laman-laman popular pembangkang seperti Tranungkite dan Harakahdaily tidak lagi menguasai alam politik siber Malaysia secara total.

Detik kemerosotan kekuatan siber UMNO sebenarnya bermula lebih awal dari 2004 namun tidak memberi kesan yang agak besar dan ketara ketika itu. Oleh kerana kumpulan KMU dianggotai oleh mereka yang tidak matang dalam politik organisasi dan terdiri daripada orang-orang muda yang mudah bergelegak, maka sedikit demi sedikit mereka mulai menjadi mangsa politiking dalaman.

Pertukaran Ketua Penerangan UMNO dari Datuk Mustapha Mohamad kepada Tan Sri Megat Junid ketika itu membolehkan usaha mengenepikan KMU dijalankan secara sistematik. Tindakan mereka lebih mudah kerana Megat Junid ketika itu tidak melihat siber sebagai satu alat penting dalam penerangan UMNO. Beliau lebih cenderung kepada penulis-penulis buku politik seperti Syed Husin (Pak Habib).

[Untuk rekod ia kerja mengenepikan KMU bukan dilakukan oleh Tan Sri Megat sebaliknya oleh beberapa individu dalam ibu pejabat UMNO yang berselindung di sebalik Setiausaha Kerja UMNO ketika itu, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Individu ini ada yang "ditangkap" oleh ahli KMU kerana berkempen memburuk-burukkan Azalina Othman Said di siber menjelang pemilihan Puteri UMNO yang pertama. Pendedahan ini dibuat menerusi nombor IP individu tersebut].

Namun usaha ini tidak dilakukan menyeluruh kerana ketika itu laman web KMU merupakan laman web UMNO dan BN paling popular mengatasi semua laman web rasmi dan tidak rasmi parti yang lain. Apatah lagi kerana UMNO tidak perlu menyumbang sesen pun kepada kelab ini kecuali membenarkan satu ruang di PWTC dan satu talian internet digunakan.

Portal KMU terus bergerak aktif dengan ahli hampir 2000 orang dari seluruh negara. Laman ini akan dingati kerana mempertahankan Azalina ketika beliau diasak oleh Agendadaily.com. Laman tersebut juga akan dingati kerana mempertahankan Menteri Besar Selangor ketika diasak oleh Ahmad Lutfi dan Hassan Ali; mempertahankan Kementerian pendidikan dan tan Sri Musa Mohamad; mempertahankan Datuk Hishamuddin Tun Hussien Onn.

KMU juga akan dingati kerana mempertahankan Abdullah Ahmad Badawi ketika diasak oleh Pas dan ketika orang dalam UMNO sendiri meragui kewibawaannya. Lebihnya, KMU pasti akan dingati kerana mempertahankan UMNO dan Dr. Mahathir dalam dunia siber selama hampir 6 tahun.

KMU juga merupakan penggerak di sebalik kursus Cyber War Puteri UMNO yang Azalina bangga-banggakan itu. Dari Modul kursus sehinggalah kepada pelaksanaannya dikendalikan sepenuhnya oleh "budak-budak KMU".

Selepas Pilihan Raya Umum 2004.

Apa terjadi kepada KMU? Selepas pilihan raya umum 2004, bukan KMU sahaja malah ramai jentera UMNO dan ahli UMNO yang bekerja keras mengembalikan maruah yang tercalar pada 1999 tidak dihargai.

Mereka semua tidak meminta wang, kontrak mahu pun jawatan. Hanya kata penghargaan dan terima kasih sahaja. Namun yang muncul hanyalah kenyataan-kenyataan kemenangan besar BN dan UMNO kerana Abdullah Ahmad Badawi dan pasukan tingkat 4nya terutama menantu kesayangan beliau Khairy jamaluddin.

Sungguhpun ramai yang berkecil hati namun ia bukanlah masalah besar bagi KMU. Budak-budak KMU sudah biasa bekerja tetapi orang lain dapat nama. Ia bukan masalah besar kepada mereka.

Selepas pilihan raya 2004 juga, server KMU dan peralatannya dikeluarkan dari tingkat 37 yang kemudiannya ditukar menjadi pejabat Khairy Jamaluddin dan Akademi Pemuda. Tiada sepatah ucapan terima kasih pun diterima dari mana-mana pemimpin UMNO. Arahan keluar juga dilakukan menerusi pihak ketiga.

Portal KMU masih menyanjung Pak Lah dan UMNO sehinggalah pemilihan UMNO 2004. Ketika ini bermulalah kritikan keras terhadap usaha Pak Lah menjadikan menantu beliau sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO. Zaki Zahid dikatakan menelefon semua ketua Perhubungan UMNO Negeri untuk menyampaikan amanat Pak Lah supaya pastikan Khairy menang tanpa bertanding.

Kemudiannya, KMU, yang dianggotai oleh ramai siswazah Melayu yang berada dalam pelbagai bidang perkhidmatan tinggi kerajaan dan swasta, mula merasakan dasar dan polisi baru Abdullah hanya akan merugikan orang Melayu dan juga ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

Kritikan-kritikan keras yang dilemparkan ini bermakna bermulalah saat-saat kehambaran jentera peranng UMNO di dalam siber. Sebahagian mereka juga mula tidak berpuas hati dengan pengendalian NSTP dan cubaan akhbar tersebut memburu-burukkan bekas Perdana Menteri itu.

Apabila Dr. Mahathir sendiri mula mengkritik Abdullah, KMU seolah-olah mendapat semangat baru untuk terus mengkritik Abdullah atas kepercayaan dan fakta yang ada. Dalam masa tidak sampai 2 tahun selepas Pilihan Raya Umum 2004, KMU berkubur.

Para penggerakknya menggugurkan nama Kelab Maya UMNO bagi mengelakkan konflik dengan UMNO. Mereka juga menggugurkan domain http://www.kmu.net.my/ kepada http://www.mykmu.net/.

Hakikatnya, Mykmu masih merupakan antara portal politik bahasa Malaysia yang utama.


Mengisi Kekosongan KMU

Setiausa Politik PM, Vincent Lim pernah cuba mengatasi kekosongan ini melalui sebuah blog. Bagaimanapun blog tersebut juga sudah mati. Azalina cuba mengisi kekosongan KMU dengan menubuhkan KPMU.Net. Malangnya, kekosongan ini gagal diisi kerana mereka tidak mampu berhujah dengan fakta. Lebih bermasalah ialah kritikan terhadap UMNO datang dari bekas Presiden UMNO sendiri.

Justeru tulisan-tulisan mereka tidak ke mana kecuali sekadar menyerang peribadi orang lain termasuk bekas Perdana Menteri.

Sekarang ini muncul pula isuhot.com yang cuba mengisi kekosongan tersebut. Muncul beberapa minggu lalu, tidak banyak harapan boleh diberi. Hanya masa yang akan menentukan.

Kesimpulan

Jika Azalina masih berbangga dengan GTPuteri beliau sebagai bukti kekuatan pengalaman beliau dalam Perang Siber, MT UMNO bolehlah melupakan sahaja kejayaan dalam siber yang mereka impikan. Sesiapa yang mengetahui kedudukan Gtputeri dalam senarai laman web popular dahulu tentu ketawa mendengar kenyataan Azalina.

Akhirnya jika mahu menang dalam perang siber, perkara pertama perlu dilakukan ialah memperbetulkan UMNO dan Kerajaan sendiri. Tanpa kepercayaan bahawa apa yang berlaku sekarang ini betul dan berada pada landasan tepat, maka tiada apa yang mampu membantu UMNO.

Kebenaran adalah perkara utama untuk menang.






Baca Selanjutnya!